Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melihat persembahan aplikasi instrumen muzik digital oleh Kelab Muzik Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak semasa Program “3D Design Challenge: Smart Green City 2019″. – Foto Fikri Yusof
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Teknologi pencetakan 3D penting dalam industri aeroangkasa Selangor

GOMBAK, 28 JUL: Teknologi pencetakan tiga dimensi (3D) merupakan elemen penting dalam memajukan industri aeroangkasa di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal ini kerana aeroangkasa adalah industri yang memerlukan ketepatan jitu dalam menghasilkan komponen kapal terbang.

“Dalam industri aeroangkasa ketepatan sangat penting sehingga kesilapan yang dibenarkan hanyalah 0.0003 peratus sahaja.

“Maka sebab itulah teknologi pencetakan 3D digunakan bagi mengeluarkan unsur kesilapan manusia,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika merasmikan Cabaran Mereka Bentuk Bandar Hijau Pintar 2019 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, di sini, hari ini.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri menyokong penuh langkah Kementerian Pendidikan menganjurkan pertandingan yang berlangsung pada 26 hingga 28 Julai 2019 itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari Melawat gerai multimedia ketika Program “3D Design Challenge: Smart Green City 2019” di Sekolah Asrama Penuh Integrasi Gombak. – Foto Fikri Yusof

Amirudin berkata, pertandingan seumpama ini mampu memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah terhadap perkembangan industri khasnya membabitkan Revolusi Industri 4.0 yang sedang melanda dunia.

Katanya, ini bagi mengelakkan generasi muda negara daripada ketinggalan dalam aspek kemajuan teknologi dan perkembangan industri.

Bagaimanapun katanya, semua pihak berkepentingan juga harus memikirkan aspek kemanusiaan supaya sumber tenaga manusia dapat dimanfaatkan secara optima.

Sementara itu, pada pertandingan yang membabitkan sekolah seluruh negara itu, Sekolah Tun Fatimah memenangi Anugerah Perancang Bandar Hijau Pintar Kreatif 3D Terbaik.

Anugerah Pilihan Popular pula jatuh kepada Sekolah Sultan Alam Shah dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Gombak.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari beramah mesra dengan pemenang dari Sekolah Tun Fatimah ketika Program “3D Design Challenge: Smart Green City 2019” di Sekolah Asrama Penuh Integrasi Gombak – Foto Fikri Yusof

Anugerah Platinum dimenangi Sekolah Tun Fatimah dan Kolej Tunku Kurshiah.

Kolej Tunku Kurshiah turut memenangi Anugerah Inovasi Bandar Hijau Pintar Terbaik.

Manakala, Anugerah Emas dimenangi oleh Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Gombak A, Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Gombak B, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Sultan Alam Shah dan Kolej Melayu Kuala Kangsar.


Pengarang :