BERITA UTAMA

MB: Tidak perlu perbaharui tekad sokong pimpinan

SHAH ALAM, 29 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menjelaskan tiada keperluan bagi memperbaharui tekad menyokong kepimpinan parti kerana ia tidak pernah dipertikaikan.

Beliau berkata, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah dicabar, justeru, tiada masalah untuk memberikan sokongan.

Malah, beliau tidak nampak kewajaran berbuat demikian.

“Presiden tidak dicabar dan ia tidak dicabar langsung ketika bertanding. Sokongan juga tidak pernah dipertikaikan, jadi kenapa perlu memperbaharusi sokongan.

“Bagi saya belum nampak kewajaran kenapa ramai-ramai perlu isi borang? tetapi tidak mengapa jika semua nak sokong..sokonglah..

“Di Selangor, kita tetap sokong keseluruhan pimpinan parti, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden dan seluruh barisan kepimpinan,” katanya ketika ditemui di Dewan Annexe, di sini.

Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor berpendapat, perbezaan parti juga boleh diselesaikan sekiranya masing-masing boleh berbincang.

“Beliau (Anwar) Presiden parti. Isu tandatangan pengukuhan parti tidak pernah jadi pertikaian. Tidak perlu perbaharui tekad menyokong Presiden melainkan ada usul percaya atau tidak.

“Sekarang perkara itu tidak wujud, jadi sampai habis penggal pun ia tidak akan berlaku percubaan merampas kuasa,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin menjelaskan beliau tidak dapat hadir ke mesyuarat pimpinan pusat (MPP) semalam kerana sibuk dan tidak sempat hadir.

“Saya memang maklum akan hadir tetapi tidak dapat hadir. Saya dalam perjalanan dari program negeri, tempat agak jauh jadi tidak sempat hadir.

“Jalan raya pula sibuk. Selangor negeri maju, jalan sesak banyak kereta,” katanya.


Pengarang :