NASIONALSELANGOR

MB tidak tertekan fitnah babit dirinya

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 11 JUL : Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengaku tidak tertekan dengan fitnah yang membabitkan dirinya bersama seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) wanita dari Selangor yang tular sejak kelmarin.

Sebaliknya Amirudin berkata, beliau tetap menjalankan tugas harian seperti biasa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan.

“Perkara ini tidak sedikit pun mengganggu tugas seharian dan saya masih mampu tersenyum seperti biasa. Laporan polis telah dibuat oleh pegawai saya semalam, jadi biarlah polis sahaja yang siasat.

“Keluarga juga memahami bahawa ini adalah asam garam yang perlu dilalui, namun saya percaya isu fitnah yang berlaku terhadap beberapa pemimpin sebelum ini dilihat cuba menggugat reputasi dan prestasi secara keseluruhannya.

“Mungkin mereka (penyebar fitnah) menjangka ia akan berjaya, tetapi sudah jelas terdapat berlakunya penolakan terhadap politik kotor dan ia dibuktikan sejak pilihan raya yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikin ketika mengulas mengenai satu keratan kenyataan yang mengaitkan Amirudin dengan seorang ADN dari Selangor. Mereka, dikatakan berada di sebuah hotel dekat Sandakan, Sabah. Kenyataan tersebut tular di media sosial.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, tindakan penyebar fitnah bukan sahaja melanggar norma masyarakat serta undang-undang, sebaliknya turut derhaka pada titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Isu berkaitan penyebar fitnah ini juga sudah diberikan pada khutbah Jumaat di masjid seluruh Selangor. Idea dan kaedah fitnah sebegini tidak akan berjaya dan kita patut menghentikan budaya ini dengan segera,” katanya selepas melawat mangsa ribut di Dewan Serbaguna Kampung Laksamana, di sini, hari ini.


Pengarang :