BERITA UTAMASELANGOR

MB turun padang lawat mangsa ribut Gombak

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 11 JULAI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turun padang melawat mangsa kejadian ribut yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua (DUN), hari ini.

Amirudin berkata, kejadian yang berlaku pada jam kira-kira 6 petang semalam menyebabkan hampir 125 keluarga terjejas.

Katanya, kebanyakan rumah rosak akibat pokok tumbang dan dua keluarga ditempatkan di penempatan sementara sejak tengah malam tadi.

“Buat masa ini bantuan segera iaitu bayaran RM500 diberikan, sementara untuk kerja baikpulih akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu minggu untuk kita buat penilaian.

“Setakat ini kerja pembersihan juga sedang giat dilakukan oleh semua agensi terlibat dan ia akan diteruskan sehingga selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat mangsa ribut di Dewan Serbaguna Kampung Laksamana, di sini, hari ini.

Selain Kampung Laksamana, Amirudin turut melawat ke beberapa lokasi termasuk Kampung Nakhoda, Selayang Baru, Flat Cempaka dan Sekolah Menengah Taman Selayang.

 


Pengarang :