SELANGOR

MB zahir sembah takziah

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 JUL : Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari merafak sembah takziah kepada seluruh kerabat diraja Selangor atas kemangkatan Kerabat Diraja Bergelar, Tengku Besar Putra Selangor, Tengku Ismail Shah Sultan Hisamuddin Alam Shah, malam tadi.

Ucapan sembah takziah itu dizahirkan menerusi akaun Facebook milik beliau hari ini.

“Merafak sembah takziah di atas kemangkatan Kerabat Diraja Bergelar, Yang Amat Mulia Tengku Besar Putra Selangor, Tengku Ismail Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan menempatkan Almarhum di kalangan para syuhada dan soleh. Al-Fatihah,” tulisnya.

Ayahanda saudara kepada Sultan Selangor dilaporkan mangkat di Pusat Perubatan Subang Jaya jam 8 malam tadi kerana sakit tua pada usia 84 tahun.

Tengku Ismail Shah yang diputerakan pada 26 Jun 1935 adalah anakanda kepada Sultan Selangor Ke-7, Sultan Hisamuddin Alam Shah serta adinda kepada Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Istiadat pemakaman berlangsung di Makam Diraja Klang kira-kira jam 10 pagi ini.


Pengarang :