SELANGOR

MBPJ: Sentiasa cadang pemaju guna nama projek dalam bahasa kebangsaan

PETALING JAYA, 16 JUL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) komited terus mengukuhkan kerjasama dengan pemaju hartanah untuk mencadangkan nama bagi setiap projek pembangunan dalam bahasa kebangsaan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, ia berikutan selama ini pihak pemaju lebih gemar menggunakan bahasa ‘orang putih’ atau bahasa asing yang dilihat sebagai salah satu tarikan terhadap strategi pemasaran masing-masing.

“Saya yakin penggunaan bahasa kebangsaan ini boleh menjadi satu tarikan kepada pembeli projek pembangunan mahupun hartanah selain mementingkan aspek kualiti dan lokasi pembinaan yang strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bendera Kejohanan SUKANUN dan Sukan Selangor (SUKSES) 2019, di Kompleks Sukan Arena, Jalan Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas laporan media tempatan berhubung pekeliling larangan penggunaan nama asing bagi projek perumahan, bangunan dan jalan yang akan dikeluarkan semula kepada seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pekeliling itu antara lain bagi mengingatkan semua PBT di negara ini berkaitan garis panduan yang perlu dipatuhi untuk kelulusan permohonan.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, penggunaan nama yang tidak mencerminkan Malaysia seperti penggunaan bahasa Inggeris dan nama orang Inggeris pada infrastruktur itu masih berlaku walaupun garis panduan mengenainya sudah lama wujud.

Zuraida yang dipetik sebagai berkata, beliau mahu PBT lebih tegas dan menjalankan tugas tanpa campur tangan pihak luar atau politik.

Mengakui perkara itu, Mohd Sayuthi berkata, pihaknya sudah lama mematuhi arahan berkenaan seperti diarahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini.

“Kita memang sentiasa menggalakkan penggunaan nama bahasa kebangsaan bagi nama pembangunan yang dicadangkan, tetapi kadang-kadang apabila melihat penggunaan nama bahasa Inggeris itu, ia lebih merujuk kepada nama khas atas syarikat.

“Untuk lain-lain memang kita minta supaya menggunakan nama bahasa Malaysia untuk memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :