SELANGOR

MBPJ yakin cipta kejuaraan SUKANUN, SUKSES 2019

PETALING JAYA, 16 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melaungkan keyakinan untuk menjadi juara keseluruhan Kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) 2019 yang bakal membuka tirai, pada 19 Julai ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, sasaran itu diletakkan selepas pihaknya berjaya meraih gelaran naib juara dengan merangkul tiga emas dan tiga gangsa membabitkan pungutan 73 mata, pada edisi terdahulu.

Katanya, MBPJ juga optimis mampu mempertahankan pingat emas diraih sebelum ini, sekali gus menambahkan koleksi kilauan pingat emas bagi lain-lain acara yang disertai.

“Berdasarkan kepada persiapan, latihan dan kemudahan diberikan saya percaya kita mampu merealisasikan sasaran berkenaan.

“Kecemerlangan bukan mudah untuk dikecapi tetapi keazaman untuk berjaya perlu membara dalam jiwa setiap atlet,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bendera Kejohanan SUKANUN dan Sukan Selangor (SUKSES) 2019, di Kompleks Sukan Arena, Jalan Selangor, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Sayuthi berkata, bagi kejohanan SUKSES, Majlis Sukan Daerah (MSD) Petaling menyasarkan untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak sukan itu diperkenalkan lagi.

“Di kejohanan SUKSES ke-12 lalu, kontinjen MSD Petaling menjadi juara dengan meraih 45 pingat emas, 25 pingat perak dan 39 pingat gangsa meninggalkan kontinjen Klang serta Hulu Langat.

“Saya berharap sasaran pingat ditetapkan dapat dicapai di kedua-dua kejohanan ini, khususnya mengekalkan pingat emas yang kita menangi di kejohanan lalu,” katanya.

Seramai 250 orang termasuk atlet, urusetia dan pegawai Pihak Berkuasa Tempatan terbabit akan dihantar dalam kejohanan dwitahunan yang menyaksikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) selaku tuan rumah.

Sebanyak 17 acara sukan daripada jumlah keseluruhan 22 acara dipertandingkan akan disertai barisan atlet MBPJ antaranya bola sepak, bola jaring, badminton, tenis, golf, catur dan bola tampar.

Acara lain termasuk tenpin boling, futsal, dart berpasukan, karom, sepak takraw, golf VIP dan olahraga.

SUKANUN dijadual berlangsung mulai 19 hingga 26 Julai, manakala SUKSES membabitkan dua sesi iaitu sesi pertama (22-25 Julai) dan sesi kedua (5-10 Ogos).


Pengarang :