SELANGOR

MBSA ajak orang ramai sertai Recycle Fun Walk

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengajak orang ramai menyertai “Recycle Fun Walk” pada 14 Julai ini di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program itu bertujuan menggalakkan orang ramai terutama warga Shah Alam untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan memupuk budaya kitar semula.

Katanya, ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan mereka yang berminat boleh mengisi borang secara dalam talian di aplikasi “JomRun”.

“Setiap penyertaan akan dikenakan yuran pendaftaran 15 naskah surat khabar, 20 botol plastik 500 mililiter (ml), 10 botol plastik 1.5 liter, 15 tin aluminium, 15 kotak tetra-pak 200ml ke atas atau 10 kotak tetra-pak 1 liter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrin berkata, turut diadakan pelbagai aktiviti menarik antaranya acara berbasikal, senamrobik, persembahan pentas Kombo MBSA dan ‘wall climbing’.

Katanya, MBSA juga akan membawa kelainan dengan mengetengahkan program Jom “Picnic Dhuha”.

“MBSA mengharapkan kerjasama daripada orang ramai dan pemilik bangunan sekitar pusat bandar untuk mengambil maklum berkenaan jalan yang akan ditutup sepanjang program berlangsung.

“Antara jalan yang akan ditutup adalah Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Damai mulai jam 06.30 pagi sehingga 09.30 pagi,” katanya.


Pengarang :