Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
SELANGOR

MBSA tutup 3 jalan sempena Selangor Cycling Series 2019

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menutup tiga jalan sempena Selangor Cycling Series 2019, pada 6 Julai ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, jalan terbabit adalah Jalan Persiaran Tasik, Jalan Persiaran Dato’ Menteri dan Persiaran Masjid.

Katanya, kesemua laluan itu akan ditutup mulai jam 6 pagi sehingga 2.30 petang.

“Sehubungan itu, kami menyeru orang ramai supaya tidak menggunakan jalan yang dinyatakan pada tempoh terbabit untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan dari semasa ke semasa.

“Kami juga memohon supaya pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Shahrin turut memaklumkan MBSA akan menutup Jalan Persiaran Sukan sempena ‘Irun Lebarun Shah Alam 2019’, pada tarikh sama.

Katanya, jalan itu ditutup mulai jam 5 sehingga 10 pagi.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Bahagian Korporat & Perhubungan Awam MBSA di talian 03-5522 2734.


Pengarang :