SUKANKINI

McCann harap skuad negara manfaat ideanya

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Legenda Australia, Michael McCann berharap ilmu dan pengalaman yang dikongsi bersama skuad hoki lelaki negara dalam tempoh yang singkat dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi persiapan menghadapi siri jelajah Eropah serta kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bekas pemenang pingat emas Olimpik 2004 itu berkata beliau hanya mampu memberikan idea taktikal kepada skuad bimbingan Roelant Oltmans sejak Isnin lalu untuk menghasilkan keputusan positif dalam kejohanan yang bakal dihadapi oleh skuad negara.

“Pasukan ini telah menunjukkan perkembangan yang baik dari segi menjana peluang melakukan jaringan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini semalam.

McCann, yang menjadi jurulatih kelab Mannheimer HC, sebuah utama Bundesliga di Jerman, selama sembilan tahun, berkata selepas sesi singkat selama seminggu di sini, beliau akan pulang untuk melihat aksi beberapa pemain kelab itu yang mewakili skuad kebangsaan Jerman.

“Saya akan melihat beberapa pasukan lain di sana (Eropah) dan akan berkongsi beberapa aksi menarik dengan Oltmans dan melihat jika ia dapat membantu skuad negara,” katanya.

Dalam pada itu, Oltmans berkata beliau gembira dengan kehadiran McCann dan perkembangan yang ditunjukkan oleh anak buahnya.

Beliau berkata senarai 20 pemain ke jelajah Eropah akan diumumkan minggu depan.

Skuad negara dijangka berlepas ke Eropah pada 21 Julai ini, dan dijadual menentang Jerman (ranking keenam dunia) pada 25 Julai, diikuti Sepanyol (ranking kesembilan dunia) pada 29 Julai, dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada jelajah itu.

Ini merupakan sebahagian daripada persediaan pasukan negara dalam menghadapi perlawanan play-off kelayakan Sukan Olimpik 2020 yang akan berlangsung November ini. – BERNAMA


Pengarang :