EXCOPBTSELANGOR

MDKS bertanggungjawab rancang pelan tindakan pelancongan

SHAH ALAM, 29 JULAI: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dipertanggungjawab merancang pelan tindakan menjadikan sektor pelancongan di daerah itu terbaik di Malaysia dan antarabangsa.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, Pihak Berkuasa Tempatan itu akan bertindak menjalankan pembangunan sektor pelancongan mengikut fasa serta keperluan.

Katanya, ketika ini ia masih dalam proses pelaksanaan pengindahan semua pusat pelancongan, sekali gus menyediakan kemudahan dan prasarana bertaraf antarabangsa.

“Ini bagi meningkatkan keindahan imej pelancongan Kuala Selangor serta mengekalkan warisan sejarahnya yang semakin menjadi tumpuan.

“MDKS akan terus menyokong kerajaan negeri dalam memperkenalkan Selangor khususnya Kuala Selangor kepada masyarakat dunia tanpa mengabaikan sejarah warisan yang wujud sejak beribu tahun dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli pada sidang Dewan Negeri Selangor di Dewan Annex, hari ini.

Abdul Rashid berkata, pembangunan yang bakal dilaksanakan itu juga akan menekankan Kesejahteraan Rakyat dan Pemuliharaan Alam Sekitar melalui peruntukan yang akan disalurkan Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, katanya, MDKS mengambil maklum terhadap keputusan itu dan akan turut menyusun perancangan dalam merangka jawatankuasa induk dan membabitkan jabatan serta agensi bertanggungjawab.

“Hal ini bagi memastikan segala perancangan serta pelan tindakan dibuat akan menjadikan sektor pelancongan daerah Kuala Selangor terbaik di Malaysia dan dunia serta ‘Gugusan Eko-Pelancongan Selangor,” katanya.


Pengarang :