AGENDASUKANKINI

MFL harap tiada pertikaian pengadil Jepun adili final Piala FA 2019

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berharap tiada pihak akan mempertikai kelayakan tiga pengadil dari Jepun, yang bakal mengadili pentas final Piala FA 2019 antara dua pasukan gergasi Utara, Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menjalankan tanggungjawab dengan baik, dalam proses pemilihan pengadil demi memastikan saingan berprestij itu mencapai tahap terbaik penganjurannya.

Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Kedua Perlawanan Akhir Piala FA hari ini turut percaya Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) yang sememangnya terkenal dengan kredibiliti yang tinggi, sudah pasti akan menghantar barisan pengadil berkualiti.

“Untuk bercakap soal kelayakan seseorang pengadil itu bukan tugas MFL dan sehingga PMOM (Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia) berjalan saya tidak boleh komen mengenai pelantikan seseorang pengadil itu kerana saya sendiri bukan penilai pengadil.

“Bagi saya jika mereka (pengadil Jepun) sudah diberi mandat untuk adili final, maka kelayakan mereka sudah tentu ada pada satu tahap yang baik. JFA sudah tentu tidak akan menghantar pegawai perlawanan yang tidak akan membawa nama baik Jepun ke sini. Saya pasti semua akan berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat di sini, hari ini.

Sebagai rekod, FAM sebelum ini menghantar permohonan kepada tiga negara – Thailand, Australia dan Jepun untuk mendapatkan khidmat pengadil bagi perlawanan akhir Piala FA 2019 dan hanya Australia dan Jepun memberi maklum balas positif.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan mengakui pihaknya mengalu-alukan kehadiran pengadil dari Jepun kali ini.

“Perak tiada masalah siapa juga pengadil kerana FAM lebih arif dalam pemilihan pengadil, kita selaku pasukan akur asalkan perlawanan berjalan dengan baik jadi tidak perlu kita pertikaikan,” katanya.

Turut senada adalah Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin yang percaya pendekatan FAM dan MFL itu seharusnya dipandang daripada sudut positif.

“Kami menyambut positif dengan lantikan pengadil berkecuali tetapi tidak menidakkan kemampuan pengadil tempatan. Mungkin aksi penting ini langkah terbaiknya adalah menggunakan khidmat pengadil asing,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Kevin turut mengesahkan keadaan rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil berada dalam keadaan terbaik menjelang perlawanan Sabtu ini. – BERNAMA


Pengarang :