SUKANKINI

MFL siasat pergaduhan perlawanan JBFA-Kelantan United

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 JUL: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan menyiasat insiden pergaduhan membabitkan pengadil perlawanan, pemain dan pegawai JBFA selepas tamat perlawanan Liga M3 pada Sabtu lalu.

MFL memaklumkan, pihaknya sudah menerima laporan awal daripada pengadil perlawanan yang diserahkan oleh penganjur Liga M3, Liga Bolasepak Amatur (AFL) berhubung insiden itu dan sudah mengarahkan pihak JBFA untuk tampil memberikan keterangan.

Selain itu, MFL juga akan mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada koordinator perlawanan, pengadil dan pasukan pelawat, Kelantan United sebelum sebarang tindakan diambil.

“MFL ingin menegaskan bahawa kami memandang serius terhadap sebarang salah laku pemain dan pegawai dalam perlawanan.

“Selain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bertanggungjawab untuk mengenakan tindakan ke atas sebarang kesalahan disiplin, MFL sebagai penganjur Liga Malaysia turut mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan yang ada,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perlawanan minggu ke-11 Liga M3 itu, pengadil perlawanan, Hasman Hisham Asngari dan pembantu pengadil didakwa diserang pemain dan pegawai JBFA sebaik tamat perlawanan yang berkesudahan seri 3-3.

Berdasarkan peraturan Liga M3 Artikel 5 (c) (viii), mana-mana pemain atau pegawai yang dilaporkan berkelakuan tidak berdisplin atau bertindak ganas di sekitar tempat permainan dan juga terhadap pengadil atau pegawai perlawanan, akan dihadapkan ke Unit Perundangan MFL mengikut peraturan ditetapkan.

Mengikut peraturan Liga M3 dan menurut hasil siasatan MFL, jika didapati bersalah, pasukan bersalah boleh diisytiharkan sebagai pasukan kalah dengan jumlah gol sebanyak 0-3; dan atau pemotongan tiga mata ke atas pasukan berkaitan; atau pemain, pegawai atau pasukan terbabit boleh disingkirkan dari Liga M3.


Pengarang :