TAMPARULI, 24 Julai — Peniaga, Juliana Sumbing, 53, menunjukkan rekaan baju tradisional etnik Dusun di mini butiknya, di Pekan Tamparuli pada temu bual hari ini. Lebih 100 koleksi pakaian etnik Dusun lelaki dan wanita boleh didapati dengan kadar sewa sehari RM20 hingga RM50 (kanak-kanak) dan RM50 hingga RM120 (dewasa).– fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BUDAYARENCANA

Minat menjahit dorong buka butik baju tradisional

TAMPARULI, 24 JULAI: Mewarisi kebolehan menjahit pakaian daripada ibunya, selain minat mendalam dalam bidang jahitan, mendorong seorang bekas wartawan sebuah akhbar tempatan di negeri ini membuka mini butik sendiri di pekan ini.

Juliana Sumbing, 53, bekas wartawan Berita Sabah, kini pemilik Jolneh Enterprise berjaya membuka mini butik selepas berhenti kerja pada 1997.

“Selepas beberapa tahun tidak bekerja, saya terfikir membuka mini butik yang memberi perkhidmatan menjahit, menjual dan menyewakan pakaian tradisional etnik Dusun kepada orang ramai.

“Hasil usaha yang diikuti kesungguhan itu, maka tertubuhkan Jolneh Enterprise yang beroperasi di gerai kain milik Majlis Daerah Tuaran (MDT) di pekan Tamparuli pada 2008,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata selepas 11 tahun beroperasi, mini butik itu berjaya mengumpul lebih 100 koleksi pakaian tradisional untuk disewa kepada pelanggan yang memerlukan.

Katanya, kadar sewa dikenakan untuk sepasang pakaian tradisional kanak-kanak RM20 hingga RM30 sekali pakai, manakala pakaian dewasa sewa RM50 hingga RM120 sekali pakai.

“Bagi pelanggan yang ingin membeli terus pakaian tradisional terbabit, sepasang pakaian kanak-kanak dijual RM120, manakala dewasa RM500 sepasang,” katanya.

Juliana yang dibantu dua anak perempuannya, menggunakan mesin jahit lama yang diwarisi daripada ibunya, Galiah Saidon, untuk menghasilkan ratusan pasang pakaian tradisional etnik Dusun.

“Ibu saya seorang tukang jahit berpengalaman dan cukup dikenali di kampung kami di Kiulu kerana menceburi bidang jahit pakaian sejak usia remaja,” katanya.

Beliau mengakui Jolneh Enterprise tidak akan wujud tanpa bantuan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang memberikan kemudahan pinjaman kewangan untuk pembelian mesin jahit tambahan dan peralatan lain.

Selain jahitan, Juliana turut berbakat menghasilkan pelbagai kraftangan tempatan terutama berasaskan manik yang turut dijual sebagai perhiasan tambahan pembeli pakaian tradisional dari butiknya.

Sehubungan itu, beliau berhasrat melebarkan perniagaan pakaian tradisional dan kraftangan itu, dengan bakal membuka cawangan butik di pekan kecil Kiulu tidak lama lagi.

-BERNAMA


Pengarang :