Selangorkini
AGENDA NASIONAL

MinDef naik taraf 8,270 unit RKAT bermula 2020

SHAH ALAM, 19 JUL: Kementerian Pertahanan Malaysia (MinDef) akan menaik taraf 8,270 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) secara berperingkat mulai 2020 dengan anggaran kos diperlukan sebanyak RM400 juta.

Dalam satu kenyataan kementerian menyatakan, jumlah peruntukan terhad yang diluluskan berjumlah RM258.45 juta berbanding permohonan RM1,043.49 juta bagi tempoh 2015 hingga 2018 menyebabkan kekangan untuk membaik pulih unit rumah yang rosak.

Menurutnya, terdapat 54,497 unit RKAT telah disediakan ATM dengan 40,024 unit adalah diduduki manakala bakinya sebanyak 12,261 unit tidak diduduki sehingga Disember tahun lalu.

“Kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tindakan untuk mendapatkan peruntukan bagi menyenggara serta membaik pulih rumah berkenaan secara berperingkat agar ianya dapat digunakan juga diduduki semula

“Daripada 12,261 unit yang tidak diduduki, 783 unit dikategorikan sebagai tidak selamat, 1,734 unit disyor roboh dan 9,744 adalah kosong serta rosak.

“Bagi 783 unit RKAT dikategorikan sebagai tidak selamat, 535 unit adalah dalam proses dokumentasi untuk dirobohkan manakala baki 248 unit akan dibaiki secara berperingkat,” katanya.

Kenyataan menjelaskan perkara berkenaan sebagai respon kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1 berhubung sejumlah RKAT ATM yang tidak selamat untuk diduduki.

Daripada 1,734 unit yang disyor roboh, sebanyak 227 unit telah dirobohkan dan 1,507 unit pula dalam proses kelulusan syor roboh.

Bagi kategori unit kosong dan rosak membabitkan 9,744 unit, sejumlah 1,474 unit dalam tindakan penyelenggaraan dan naik taraf dalam tahun ini menggunakan Peruntukan Khas 2019 sebanyak RM50 juta.


Pengarang :