Selangorkini
NASIONAL

MOA bawa teknologi China dalam sektor tanaman padi

KOTA BELUD, 13 JULAI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mahu bekerjasama dengan China bagi membawa masuk teknologi baharu dalam usaha meningkatkan hasil tanaman padi di negara ini, kata Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, penggunaan teknologi moden dalam sektor tanaman padi di China membolehkan negara itu menghasilkan padi sehingga 8 tan sehektar selain berupaya menyimpan bekalan beras mencukupi untuk kegunaan kira-kira 1.4 bilion rakyatnya.

Katanya, semasa lawatan ke China baru-baru ini, pihaknya mendapat maklumat menarik bagaimana China mengekalkan bekalan padi selama setahun dan mencukupi untuk 1.4 bilion rakyatnya.

“Berasaskan fakta itu, kita menyahut hasrat perdana menteri supaya Malaysia khususnya MOA berkolaborasi dengan China supaya teknologi baharu (digunakan China dalam tanaman padi) dibawa masuk ke negara kita,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sebelum itu, beliau menyerahkan kunci jentera penuai padi kepada Kumpulan Pengguna Air Kampung Merabau, pada satu majlis di sini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong; Ketua Setiausaha MOA, Datuk Sallehhuddin Hassan dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, Salmah Labulla.

Salahuddin berkata, beliau bercadang mengadakan lawatan ke Hainan, China kerana ia adalah antara lokasi berjaya dalam sektor tanaman padi di negara itu selain melawat beberapa institusi penyelidikan berkaitan.

Beliau berkata, teknologi moden tanaman padi itu merangkumi keseluruhan rantaian nilai dalam sektor itu termasuk melihat kepada penggunaan dron serta teknologi ‘Kecerdasan Buatan’.

Katanya, teknologi itu diharap dapat diaplikasikan IADA Kota Belud ke arah meningkatkan hasil padi seterusnya melonjakkan pendapatan petani.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, MOA akan mengemukakan dasar baharu dalam sektor perikanan negara bagi memastikan nelayan mampu meningkatkan hasil laut seterusnya memberi pulangan lumayan kepada golongan itu.

Berhubung penyerahan jentera penuai, katanya ia adalah hasil program promosi mekanisasi dan automasi agro-makanan Rancangan Malaysia Kesebelas IADA Kota Belud yang diharap dapat membantu para petani di Kampung Merabau meningkatkan sumber pendapatan dan hasil pengeluaran padi.

—BERNAMA


Pengarang :

Related posts

Rafizi dakwa Najib sorok kos belanja jet RM40.8 juta

Bursa Malaysia dibuka rendah

Hafizan Taib

Bekerjasama Dengan TNB Atasi Premis Judi

admin