NASIONAL

MoF lulus geran lanjutan tiga tahun untuk CGC urus TPUB-i

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Kementerian Kewangan (MoF) meluluskan lanjutan tiga tahun kepada Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) untuk mengurus Dana Projek Usahawan Bumiputera (TPUB-i).

CGC dijangka menguruskan skim pembiayaan kontrak TPUB-i itu sehingga 30 Jun, 2022, kata MoF dalam kenyataan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata geran itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara, selain mewujudkan peluang yang membolehkan usahawan dan perusahaan kecil kecil (PKS) berkembang..

TPUB-i, skim pembiayaan kontrak yang dibiayai oleh Bank Negara Malaysia (BNM), menyediakan pembiayaan modal kerja kepada usahawan Bumiputera yang memperoleh kontrak atau projek oleh kerajaan atau agensi, badan berkanun dan syarikat yang bereputasi.

Menerusi skim ini, CGC mempunyai peruntukan sebanyak RM300 juta untuk membantu usahawan Bumiputera yang menghadapi cabaran mendapatkan akses kepada pembiayaan daripada institusi kewangan.

Skim ini menawarkan kadar keuntungan sehingga lima peratus setahun untuk pemohon kali pertama bagi pembiayaan sehingga RM3 juta.

Sejak skim ini dilaksanakan pada Julai 2009, CGC meluluskan dan membelanjakan sebanyak RM1.58 bilion kepada lebih daripada 1,900 usahawan Bumiputera.

Pada 2018, angkanya berjumlah RM330 juta, paras tertinggi dari segi nilai kelulusan pinjaman dalam tempoh setahun. – BERNAMA


Pengarang :