PBTSELANGOR

Mohon petak parkir OKU di MBPJ

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 5 JUL : Dua peratus daripada keseluruhan kawasan tempat letak kenderaan dalam kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah ditetapkan khas untuk kemudahan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Justeru, Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin menyarankan orang awam atau pemilik premis dalam kawasan komersil di daerah ini membuat permohonan petak OKU kepada MBPJ untuk tindakan lanjut.

“Untuk memohon tempat letak kenderaan OKU, orang awam perlu menulis surat rasmi dengan menyertakan justifikasi penggunaan, lampiran foto kawasan yang dicadangkan dan maklumat terperinci pemohon.

“Permohonan juga boleh di hantar ke Pusat Khidmat saya atau terus kepada Jabatan Perancangan Pembangunan MBPJ,” katanya pada sidang media selepas melancarkan dua tempat letak kenderaan OKU di hadapan bangunan Persatuan Dialisis Kurnia, di sini, hari ini.

Kata Jamaliah, permohonan tersebut bagaimanapun akan diteliti MBPJ dan kumpulan pereka sejagat (Universal Designer Team) sebelum diluluskan.

“Setakat ini kita sudah menerima sebanyak 20 permohonan daripada orang awam bagi menyediakan tempat letak kenderaan OKU sekitar Petaling Jaya,” katanya.


Pengarang :