Selangorkini
SUKANKINI

MOM percaya Wirdati boleh tangani masalah persatuan sukan

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) percaya Pesuruhjaya Sukan yang baharu, Prof Madya Dr Wirdati Mohd Radzi, berupaya menangani kemelut yang melanda persatuan sukan kebangsaan.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria merasakan pelantikan pensyarah kanan Pusat Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya (UM) itu, merupakan satu pendekatan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membawa ekosistem baharu dalam arena sukan negara.

“Saya yakin beliau boleh bersikap objektif, sebagai orang yang masih segar dalam industri sukan negara. Kita berada dalam keadaan mencabar, kerana ada beberapa persatuan sukan kebangsaan yang mempunyai masalah dalaman. Saya harap ia dapat diselesaikan,” katanya kepada media selepas pelancaran Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN) di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Perlantikan Wirdati adalah bagi menggantikan Datuk Zaiton Othman yang bersara pada Mac lepas, selepas memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2015.

Untuk rekod, Wirdati merupakan Pengerusi Badan Rayuan Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), serta bekas bendahari (2014-2016) dan juruaudit (2016-2018) Persatuan Pengurusan Sukan Asia.

Beliau turut mempunyai kepakaran dalam Dasar Pendidikan, Pengurusan dan Pentadbiran (Undang-undang Pendidikan, Dasar Pendidikan, Tadbir Dalam Pendidikan, Pengurusan Sukan dalam Pendidikan); Pengurusan dan Pentadbiran Sukan (Pengurusan Sukan, Dasar Sukan, Penyelidikan Perbandingan dalam Sukan); dan Tadbir Urus (Undang-undang Sukan dan Tadbir Urus, Pengurusan Risiko dalam Sukan).

Mengulas mengenai permasalahan yang dialami beberapa persatuan sukan negara, Mohamad Norza menasihatkan persatuan terlibat untuk fokus kepada tanggungjawab hakiki mereka, iaitu untuk melengkapkan atlet dengan persediaan rapi menjelang penganjuran Sukan SEA Filipina pada November ini dan Sukan Olimpik Tokyo pada tahun depan.

“Setakat ini apa yang berlaku diperingkat persatuan tidak mempunyai impak yang besar kepada atlet kerana saya percaya pemimpin persatuan tahu bahawa apa yang berlaku hanya dihadkan di peringkat mereka. Perancangan mereka dari segi latihan yang telah dibincangkan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan MOM berjalan lancar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza percaya kemelut dalaman yang melanda Filipina selaku penganjur Sukan SEA 2019, akan diselesaikan tidak lama lagi dan menolak spekulasi penganjuran sukan dwitahunan itu akan dianjak ke tahun hadapan.

Kemelut itu berlaku selepas Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC), Ricky Vargas, meletak jawatan lima bulan menjelang Sukan SEA dan meskipun kemelut dalaman itu belum reda, POC dijangka akan mengadakan pemilihan presiden baru 10 Julai ini. – BERNAMA


Pengarang :

Related posts

Piala Malaysia: PKNS FC hampa tewas 2 – 3 kepada Felda United

Mohd Ezli Mashut

EPL: Gol Son lonjak Spurs

Hafizan Taib

Bangun infrastruktur, aktiviti sukan PPR kos rendah