PELANCONGAN

MOTAC yakin capai sasaran kedatangan 30 pelancong tahun hadapan

TUMPAT, 14 JUL : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yakin akan mencapai sasaran kemasukan 30 juta pelancong ke negara ini pada tahun depan, sekali gus menjana kira-kira RM192 bilion pendapatan kepada negara.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata pendapatan berjumlah RM100 bilion dijangka diperoleh menerusi kemasukan pelancong asing manakala selebihnya melalui pelancongan domestik.

“Kelantan antara negeri yang dijangka menarik ramai kemasukan pelancong asing ke Malaysia. Kelantan menyasarkan sejumlah 5.5 juta pelancong akan mengunjungi negeri itu pada tahun ini, sekali gus membantu melonjakkan jumlah pelancong ke Malaysia pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penutupan Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Datuk Md Anizam Ab Rahman dan Timbalan Gabenor Narathiwat Patimoh Sadiyamon.

FKRK mula dianjurkan pada 2017 merupakan satu daripada sembilan program yang tersenarai dalam kalendar pelancongan budaya di sembilan negeri bagi menyerlahkan keunikan seni budaya setempat sebagai satu produk pelancongan.

Pada penganjurannya yang lepas, sebanyak RM254,000 pendapatan telah dijana dengan kehadiran seramai 74,221 pengunjung.

Antara acara menarik yang diadakan pada FKRK kali ketiga tahun ini adalah pertandingan Rebana Ubi, Kertuk dan Dikir Barat selain persembahan Simfoni Pergendangan Kelantan.

Sementara itu Mohamaddin berkata kementeriannya sentiasa terbuka untuk menerima cadangan kerajaan negeri dalam usaha menghidupkan seni tradisi negeri masing-masing.

“Kesenian Mak Yong misalnya telah dibenarkan dipentaskan semula di Kelantan hasil kesepakatan bersama. Kita ucapkan terima kasih kepada Kelantan atas usaha murni memberi nafas baharu kepada kesenian Mak Yong dan ia kini boleh disaksikan di Auditorium JKKN Kelantan,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :