AGENDASUKANKINI

MoU UiTM, ISN sasar tingkat prestasi, pencapaian atlet negara

SHAH ALAM, 22 JUL: Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Sukan Negara (ISN) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam bidang sains, perubatan dan teknologi sukan.

MoU itu diadakan dengan objektif mempertingkatkan prestasi dan pencapaian atlit negara.

UiTM diwakili Naib Kanselor, Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim manakala ISN diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Faedzal Md Ramli dalam majlis di Dewan Anjung Sri Budiman (Annex), UiTM di sini, hari ini.

Perjanjian disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu juga membolehkan pertukaran kepakaran antara UiTM dan ISN membabitkan ahli akademi, penyelidikan, pelajar serta kakitangan bagi tujuan akademi juga penyelidikan.

Mohd Azraai berkata, beliau yakin kolaborasi antara kedua pihak akan lebih menyeluruh dan merentasi pelbagai bidang ilmu seperti Kejuruteraan Sukan, Sains Sukan dan Perubatan Sukan.

“Untuk makluman semua, di UiTM penyelidikan dalam bidang teknologi, perubatan dan Sains Sukan berjaya menghasilkan beberapa inovasi yang boleh dibanggakan,” katanya.

Antara inovasi terbabit adalah sistem pemantauan yang dipanggil ‘Biomechanical Injury Risk Assessment Procedure’ berteraskan kecerdasan buatan sukan dan ‘Corecentrix’ bagi mengumpul data dalam latihan fizikal.

Selain itu, ‘iCobra’, ‘Activride’ dan ‘Virtual Cardio’ juga adalah inovasi dibangunkan penyelidik di UiTM.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :