AGENDANASIONAL

MPI akan bincang dengan AGC untuk cabar peraturan EU

BANGI, 17 JUL : Kementerian Industri Utama (MPI) akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi meneruskan hasrat mencabar Akta Perwakilan Kesatuan Eropah (EU) yang menyekat penggunaan minyak sawit dalam biobahan api.

Menteri Teresa Kok berkata, Malaysia berhak mencabar undang-undang tersebut yang disifatkan bercanggah dengan kebebasan perdagangan yang selama ini dilaungkan oleh Eropah dan seluruh dunia.

“Peraturan khas itu diluluskan Parlimen Eropah pada Mei lepas, kita rasa amat tidak adil. Kita nak cabar.

“Petang ini ada pertemuan dan perbincangan terperinci dengan pihak AGC… kita nak lihat macam mana kita boleh teruskan (untuk cabar peraturan EU),” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan MPI, di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri MPI Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Teresa berkata Indonesia juga senada dengan Malaysia untuk mencabar undang-undang tersebut.

“Indonesia juga dah setuju, mereka akan failkan saman itu kepada Badan Penyelesaian Pertikaian WTO.

“(Walaupun) kita fail asing-asing tapi ada kerjasama,” katanya.

Sementara itu, Teresa berkata kementeriannya menyasarkan untuk mencapai 100 peratus pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi memastikan minyak sawit Malaysia dihasilkan melalui pengeluaran mampan.

Beliau berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan anggota Parlimen termasuk di kawasan pembangkang untuk menyampaikan mesej kepentingan MSPO kepada semua pengusaha sawit.

“Selepas itu kita boleh uar-uarkan kepada masyarakat Eropah dan seluruh dunia yang pengeluaran minyak sawit di Malaysia adalah dengan cara yang mampan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :