PBTSELANGOR

MPK kagum lukisan mural hiasi GM Klang

KLANG, 23 JUL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) kagum melihat keindahan mural menghiasi Pusat Membeli Belah Borong GM Klang yang berkonsepkan bangunan bersejarah di daerah terbabit.

Mural yang mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan sejak Februari tahun lalu itu adalah hasil cetusan mahasiswa Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, mural itu secara tidak langsung mampu menarik orang awam khususnya pelancong yang berkunjung ke pusat borong terbabit untuk menjelajah sendiri ke lokasi bersejarah di Klang.

“Mural dihasilkan mahasiswa UiTM ini sedikit sebanyak membantu memberikan informasi kepada pengunjung berkunjung ke GM Klang untuk melawat ke tempat menarik di daerah ini.

“Malah, mural ini juga salah satu daya penarik untuk kita menggamit pelancong melihat secara jelas gambaran dan keadaan sebenar pembangunan di Klang.

“Sebagai contoh, mural yang dihasilkan ini kesemuanya memberikan gambaran keseluruhan tempat menarik dan bersejarah di Klang antaranya Kuil Kwan Imm, Masjid India Muslim dan Kopitiam Chong Kok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran ‘Heritage X-Plore’ GM Klang di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Yasid berkata, insiaitif menghasilkan mural itu juga medium terbaik bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk mengabadikan kenangan dengan bergambar sekali gus ia berupaya mempromosi Klang kepada umum.

“Pengunjung yang ke GM Klang pasti akan melalui kawasan mural ini mungkin akan bergambar dan memuat naik di media sosial, secara automatiknya orang itu sudah mempromosikan Klang,” katanya.

Katanya, beliau optimis akan ada usahasama dari mana-mana agensi atau institusi awam dan swasta dalam mengindahkan lagi kawasan di daerah terbabit.

“Terima kasih kepada UiTM dan GM Klang di atas usahasama ini, namun saya berharap lebih banyak lagi program kerjasama sebegini dilaksanakan pada masa akan datang sekali gus menjadikan Klang sebagai bandar yang masyhur seiring kemajuan budaya,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :