PBTSELANGOR

MPS anjur Sambutan Hari Penguatkuasa

OLEH SHEEDA FATHIL

SELAYANG, 1 JUL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menganjurkan Sambutan Hari Penguatkuasa ke-37 di Dataran MPS, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, sambutan itu adalah kali pertama diadakan secara besar-besaran membabitkan seluruh warga MPS, Ahli Majlis dan beberapa pengarah.

Katanya, ia dilaksana bertujuan memperingati penubuhan Jabatan Penguatkuasa yang sudah lama menyumbang khidmat di MPS iaitu selama 37 tahun sejak tertubuhnya Majlis Daerah Gombak.

“Selain itu, sambutan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada semua anggota penguatkuasa MPS bagi meningkatkan keazaman, mutu kerja demi kemajuan dan kecemerlangan pihak berkuasa tempatan ini.

“Ia membabitkan seramai 150 anggota penguatkuasa dan 250 warga MPS yang turut serta memeriahkan majlis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, program dirasmikan Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato’ Dr Juhari Ahmad dan turut diadakan Perhimpunan Bulan Julai.

Selain perbarisan, sambutan turut dimeriahkan dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti Acara Pemakaian Pangkat kepada Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS, Norhayati Ahmad serta penyampaian Anugerah Khas kepada dua anggota penguatkuasa yang sudah berkhidmat selama 37 tahun.

Majlis berakhir dengan persembahan Tambo oleh Pasukan Tambo Rejimen 502 Askar Wataniah Angkatan Tentera Malaysia dan demonstrasi tunda kenderaan.


Pengarang :