PBTSELANGOR

MSD Gombak sumbang bina gelanggang petanque

GOMBAK, 24 JULAI: Majlis Sukan Daerah (MSD) Gombak menyumbangkan RM2,500 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati bagi pembinaan gelanggang petanque yang bakal dijadikan sebagai pusat latihan atlet sukan berkenaan.

Sumbangan itu disampaikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dato’ Abd Hamid Hussain kepada pengetua, Zarina Mahmood sempena Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Daerah Gombak Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) Ke-13, di Dewan SMK Taman Melawati, di sini, Sabtu lalu.

Abd Hamid berkata, pihaknya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk pembangunan MSD Gombak sejak pihak berkuasa tempatan itu dipilih menjadi pengerusi pusat latihan berkenaan, pada Januari tahun lalu.

“Kita juga memberi beberapa sumbangan kepada program pembangunan pusat latihan ini antaranya pakaian jersi sukan kepada pasukan Kelab Ragbi Lembah Keramat dan tiang gelanggang sepak takraw di SMK Gombak Setia.

“Selain itu, insentif kemenangan kepada atlet memanah Daerah Gombak yang mendapat pingat emas di Kejohanan Sukan Malaysia di Perak pada 2018 juga diberikan,” katanya.

Katanya yang juga Presiden MSD Gombak, program pembangunan Pusat Latihan Majlis Sukan Daerah (PLMSD) Gombak hanya mempunyai lima sukan sahaja semasa MPAJ mengambil alih.

“Selepas setahun kita mengambil alih, kita mempunyai lapan pusat latihan iaitu memanah, hoki dan bola baling (SMK Sg Pusu), olahraga (Persatuan Olahraga Daerah Gombak), angkat berat (SMK Seri Kundang), sepak takraw (SMK Gombak Setia) dan ragbi (Kelab Ragbi Lembah Keramat),” katanya.


Pengarang :