PBTSELANGOR

Mural bersejarah hiasi dinding GM Klang

KLANG, 23 JUL: Seramai 70 mahasiswa Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam berjaya menghasilkan mural memaparkan tempat bersejarah di daerah ini yang menghiasi dinding Blok C GM Klang di sini.

Dekannya, Prof Dr Ruslan Abdul Rahim berkata, projek yang mengambil masa lebih setahun itu bermula sejak Februari tahun lalu adalah kerjasama bersama UiTM, GM Klang dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Katanya, mural sepanjang kira-kira 76.2 meter itu dihasilkan sendiri mahasiswa Jabatan Seni Reka Perindustrian dengan bimbingan lima pensyarah selaku penasihat projek berkenaan.

“Kita turut mengusulkan beberapa cadangan kepada GM Klang sebelum persetujuan dicapai untuk menghasilkan mural berkonsepkan tempat bersejarah di daerah ini dan mereka bersetuju menaja kos sebanyak RM40,000.

“Selain itu, ia juga salah satu pembelajaran luar kelas mahasiswa dengan komuniti dan sebagai persediaan awal untuk mereka memasuki pasaran kerja,” katanya ketika sidang media Majlis Pelancaran ‘Heritage X-Plore’ GM Klang di sini, hari ini.

Perasmian lukisan mural diberi nama Heritage X-Plore itu dirasmikan Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan turut dihadiri Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok.

Sementara itu, Lim berkata, projek terbabit sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat bersempena sambutan ulang tahun ke-10 GM Klang.

Katanya, pihaknya sudah lama berminat untuk memiliki lukisan mural di GM Klang kerana seni artistik itu sangat bernilai dan mampu menarik perhatian orang ramai untuk mengambil foto.

“Laluan di Blok C antara lokasi strategik untuk melakarkan seni mural disebabkan ia adalah laluan pengunjung terutama yang datang dari luar Klang menaiki bas sekali gus dapat melihat lukisan memaparkan tempat menarik di Klang.

“Terima kasih diucapkan dan kami berharap akan ada lagi pihak yang berminat untuk menjalin kerjasama dalam menghasilkan bakat kreatif mereka di GM Klang pada masa akan datang,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :