AGENDANASIONAL

Najib mahu buka akaun untuk terima derma daripada Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 17 JUL : Bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini Datuk Seri Najib Tun Razak mahu membuka akaun dengan bank itu dengan tujuan untuk menerima sumbangan daripada Arab Saudi.

Cheah Tek Kuang, 72, berkata beliau diberitahu sumbangan itu adalah dalam jutaan dolar Amerika Syarikat (AS).

Saksi ke-50 pendakwaan itu berkata demikian semasa disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas perdana menteri itu pada perbicaraan hari ke-39, membabitkan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Kembali kepada tujuan akaun yang dibuka, memandangkan Najib menyebut sumbangan, anda sebagai pegawai bank, adakah akan memberitahunya untuk melaporkan kepada Bank Negara?

Cheah: Sudah pasti.

Harvinderjit: Derma itu, adakah anda ingat angkanya?

Cheah: 100, mungkin US$200 juta.

Harvinderjit juga menunjukkan perbezaan antara pen yang digunakan untuk tandatangan Najib pada borang pembukaan akaun dan borang kad kredit yang sepatutnya ditandatangani bersama.

Harvinderjit: Tandatangan Najib adalah berbeza. Pada borang yang satu lagi dakwatnya tidak berapa hitam. Adakah anda ingat bilakah beliau (Najib) tandatangan kedua-dua borang itu?

Cheah: Saya tidak dapat mengesahkannya.

Harvinderjit: Selepas beliau tandatangan borang itu, adakah Najib menyerahkan wang tunai untuk deposit bagi pembukaan akaun baharu itu?

Cheah: Tidak.

Harvinderjit: Adakah Joanna memberi anda wang tunai?

Cheah: Tidak.

Joanna Yu adalah Pengurus Perhubungan bagi akaun Najib di Ambank kerana beliau adalah orang yang diberitahu untuk membuka akaun bekas perdana menteri itu.

Merujuk kepada transkrip BlackBerry Messenger antara Joanna dan saksi, Harvinderjit meneruskan soalan bertanya kepada saksi apa yang dikatakan Joanna apabila subjek tentang akaun itu mula-mula dibangkitkan.

Harvinderjit: Joanna beritahu anda bahawa “Jho Low menghubungi saya mengatakan Najib mahu membuka akaun”.

Cheah: Ya. Beliau berkata sebaik-baiknya pengerusi atau saya yang mengendalikan perkara itu.

Sebahagian daripada perbualan itu juga menyatakan ‘pemindahan berjaya sebanyak US$620 juta daripada ‘akaun relevan’ pada 2013, yang Cheah menjawab dalam mesej kepada Joanna, “Anda mesti lega”.

Harvinderjit juga mengingatkan mesej Joanna yang dihantar kepada Cheah dengan berkata, “Mr Low akan datang ke bandar”, bagaimanapun Cheah enggan mengesahkan sama ada ia merujuk kepada Jho Low.

Cheah juga menghantar pesanan kepada Joanna sama ada beliau “berjaya mendapatkan lelaki muda itu”.

Harvinderjit: Siapakah orang muda itu? Adakah itu Jho Low?

Cheah: Mungkin, mungkin tidak.

Sementara itu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menegur Najib kerana tidak kembali tepat pada masanya untuk meneruskan prosiding pada sebelah petang, yang sepatutnya bermula pada 2.20 petang, tetapi Najib tiba pada 2.40 petang.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum itu telah meminta maaf kepada hakim dan menjelaskan mengapa anak guamnya lewat dengan mengatakan Najib dikunjungi tetamu yang tidak diduga di rumahnya, menyebabkan beliau terlewat.

Hakim kemudiannya mengingatkan Najib untuk hadir tepat pada waktunya sebaik beliau membuat kemunculan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok.

-BERNAMA


Pengarang :