NASIONAL

Nasib tiga anak anggota bomba maut dalam operasi tangkap ular dibela

SIBU, 14 JUL : Tiga anak Allahyarham Mohd Sapee Julaihi, anggota bomba yang meninggal dunia selepas menyertai operasi menangkap ular sawa bulan lepas, ditawarkan tempat di Kompleks Kebajikan Peryatim Sibu, Jalan Kemuyang di sini.

Isteri Ketua Menteri merangkap Penaung Lembaga Kebajikan Anak-anak Yatim (Peryatim) Sarawak, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang membuat tawaran itu pada majlis penyampaian sumbangan kepada anak Allahyarham di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral hari ini.

Ibu saudara kepada anak-anak yatim itu yang kini bertindak sebagai penjaga mereka, Rokiah Julaihi, 49, berkata beliau tidak dapat membuat keputusan berhubung tawaran itu pada masa ini.

“Namun saya beritahu Datuk Amar, saya tidak boleh membuat keputusan sekarang, berat rasa nak melepaskan mereka. Lagipun mereka tidak pernah berjauhan lebih-lebih lagi yang bongsu amat rapat dengan saya sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Rokiah, guru di Sekolah Kebangsaan Agama Sibu berkata, beliau tidak merasa beban serta bersedia untuk menjaga anak buahnya itu yang tiga masih bersekolah walaupun perlu menjaga empat orang anaknya.

“Saya sanggup jaga mereka macam anak sendiri dan saya akan pastikan pendidikan mereka terjamin sama juga seperti anak-anak saya sendiri,“ jelasnya.

Allahyarham Mohd Sapee, 55, yang bertugas di BBP Sibu Sentral meninggal dunia pada 21 Jun lepas semasa mendapat rawatan di Hospital Sibu.

Allahyarham, seorang duda, meninggalkan empat anak lelaki berusia lapan hingga 19 tahun, mengadu sakit dada dan sesak nafas semasa dalam perjalanan pulang ke balai selepas menyertai operasi menangkap ular di Taman Permai pada pukul 4 pagi dan disahkan meninggal dunia pada 7.57 pagi hari yang sama.

-BERNAMA


Pengarang :