NASIONAL

Nelson Mandela inspirasi Tun M

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 JULAI: Corak pemerintahan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela yang berani menentang Apartheid menjadi sumber inspirasi buat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, beliau turut mengagumi Czar Rusia, Peter the Great.

“Sebab beliau (Peter the Great) dapat menukar negara Rusia daripada sebuah negara tidak tersusun supaya menjadi negara yang mampu menjadi kuasa dunia,” katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu kepada Bernama Radio pada Wawancara Eksklusif Janji Temu bersama Tun Mahathir sempena Ulang Tahun ke-94 pemimpin negara itu, di sini, hari ini.

Ditanya ciri personaliti perlu dimiliki seorang pemimpin untuk mentadbir sesebuah negara, beliau berkata, individu berkenaan harus menanam rasa minat untuk mengikuti perkembangan dan keadaan sekeliling dalam negara serta seluruh dunia.

“Kita tidak boleh asingkan diri seolah-olah hidup tunggal (bersendirian), tidak ada kaitan dengan jiran dan negara lain di dunia,” katanya.

Dr Mahathir juga memaklumkan beliau meminati penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan menggemari kopi berbanding teh selain memilih Jepun sebagai negara paling suka dikunjungi.


Pengarang :