SELANGOR

P3S bantu tingkat taraf produk pelancongan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 8 JULAI: Program Pemurnian Pelancongan Selangor (P3S) mampu meningkatkan taraf produk pelancongan, sekali gus menjana pendapatan lebih baik kepada pengusaha.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pengusaha yang menyertai program itu akan mendapat bimbingan profesional dan bantuan promosi berterusan oleh Tourism Selangor serta agensi lain.

“Di Kuala Kubu Bharu terdapat 56 inap dusun tetapi hanya enam sahaja yang berlesen yang merugikan pengusaha kerana produk mereka tidak dapat dipromosikan ekoran tiada kelulusan dan lesen Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

“Saya sarankan supaya (pengusaha) menyertai program ini kerana tidak rugi mendaftar, dapat kelebihan promosi dan meningkatkan keselamatan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Amirudin berkata, langkah itu secara tidak langsung akan memberi kesan positif terhadap kerancakan sektor pelancongan di Selangor.

Katanya, selain memperolehi pelbagai kelebihan, ia turut membantu Kerajaan Negeri mengumpul data pelancongan dengan lebih tepat.

Pada masa sama, Amirudin berkata, program yang dimulakan di Hulu Selangor itu akan diteruskan di seluruh negeri bermula tahun hadapan.

Bagaimanapun katanya, program membabitkan garis panduan ditetapkan pelbagai agensi seperti MDHS, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Bomba dan Penyelamat itu disesuaikan mengikut acuan tempatan berdasarkan produk pelancongan sedia ada.

“Sekarang secara sukarela tetapi lambat laun akan diwajibkan apabila sampai had masa ditetapkan nanti,” katanya.


Pengarang :