AGENDAGLOBAL

Pakistan sambut baik usaha cetus semula kebangkitan Islam

KARACHI, 27 JUL: Pakistan menyambut baik usaha Presiden Turki dan Perdana Menteri Malaysia untuk mencetuskan kembali kebangkitan serta kekuatan umat Islam menerusi kerjasama tiga negara, lapor agensi berita Anadolu.

“Sangat berbesar hati dan mengalu-alukan PM@chedetofficial dan Presiden @RTErdogan untuk Malaysia, Turki dan Pakistan mengembalikan semula kekuatan dan perpaduan dunia Islam,” kata Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi menerusi Twitternya.

Pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di Ankara, Khamis, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, soladiriti Turki, Malaysia dan Pakistan amat diperlukan bagi perpaduan dunia Islam.

Dr Mahathir yang turut mempunyai pendapat sama mengatakan: “Kerjasama antara Malaysia dan Turki akan membantu membebaskan umat Islam daripada belenggu kuasa pihak lain.”

Tulis Qureshi lagi, “Saya bertuah kerana dapat turut sama dalam mesyuarat peringkat menteri tiga negara itu di luar Sidang Kemuncak Makkah OIC. Inisiatif tiga pihak ini penting untuk memupuk perpaduan, kerjasama dan pembangunan dunia Islam.”

Perdana Menteri Malaysia tiba di Ankara, Turki pada Rabu petang untuk mengadakan lawatan rasmi empat hari.

“Sebab itu saya mencadangkan tiga negara Islam harus bekerjasama. Sekurang-kurangnya tiga negara (Turki, Malaysia dan Pakistan). Membolehkan kita lantang bersuara dan suara kita didengari dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan,” kata Perdana Menteri Malaysia. – BERNAMA


Pengarang :