AGENDANASIONAL

Panggil pakar patalogi atau tamatkan inkues Adib

SHAH ALAM, 17 JUL : Mahkamah Koroner di sini menetapkan 24 Julai depan untuk memutuskan sama ada memanggil seorang lagi pakar patologi atau menamatkan prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad berkata pihaknya akan memutuskan mengenai perkara itu selepas meneliti kesemua keterangan termasuk daripada saksi ke-30 iaitu pakar fizik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

“Saksi ke-30 telah pun selesai memberi keterangan hari ini dan pada 24 Julai depan saya akan membuat keputusan sama ada perlu memberi memanggil pakar patologi lain atau menamatkan prosiding (inkues) ini, ” katanya pada hari ke-41 prosiding inkues kematian Muhammad Adib hari ini.

Terdahulu, dalam prosiding inkues tersebut Amir Radzi yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM berkata, sekiranya Muhammad Adib berada dalam kedudukan statik, risiko kecederaan yang dihadapinya adalah tinggi.

Beliau berkata keadaan itu akan berlaku sebaliknya (risiko kecederaan kurang), apabila Muhammad Adib dalam keadaan bergerak.

“Saya bayangkan kalau Adib berdiri tanpa bergerak pun, pergerakan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) akan menghasilkan daya,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Kes, Asyraf Ashy’ari Kamaruzzaman.

Sebelum ini, dua saksi telah memberi pandangan berlainan iaitu saksi ke-24, Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, mendakwa Muhammad Adib keluar sendiri dari van berkenaan sebelum terlanggar pintu van EMRS lalu terhentak di permukaan yang kasar, luas dan menonjol.

Saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid pula berpandangan Muhammad Adib ditarik keluar dari van EMRS dan dihentak menggunakan pintu van oleh beberapa individu sehingga mendapat kecederaan parah di bahagian kanan dada.

Sehingga hari ini, 30 saksi dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu mahkamah mencari punca kematian Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara.

-BERNAMA


Pengarang :