AGENDANASIONAL

Parti perjuangkan kemerdekaan lenyap kerana tamak, gila kuasa

SERDANG, 20 JUL: Sejarah dunia membuktikan tiada parti politik memperjuangkan kemerdekaan kekal bertahan sehingga ke hari ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana sikap pemimpin mereka yang tamak dan mementingkan kuasa menyebabkan mereka akhirnya ditolak rakyat.

“Pada asalnya mereka berjuang untuk merdekakan negara dan bila dah menang ada yang dilantik menjadi Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar dan lain-lain.

“Bila sudah ada jawatan, mereka mula merasa nikmat di atas kedudukan mereka sehingga lupa landasan perjuangan asal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Taman Ekspo Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Mahathir berkata, sikap tamak dan mementingkan kepentingan peribadi itu menyebabkan sedikit demi sedikit parti itu ditolak rakyat.

Katanya, kejadian ini dapat dilihat di banyak negara di seluruh dunia seperti Ghana dan Pakistan.

Mahathir berkata, di Malaysia sendiri, Umno juga sebuah parti memperjuangkan kemerdekaan pada awal penubuhannya tetapi akhirnya ditolak rakyat kerana sikap tamak dan mementingkan kepentingan sendiri pemimpinnya.

“Tak salah menikmati manfaat atas jawatan yang diberikan tetapi tidak boleh salah guna kuasa, tamak untuk kepentingan sendiri kerana nanti akan ditolak rakyat,” katanya.


Pengarang :