EKONOMI

Pasaran getah dijangka kekal lemah minggu depan

KUALA LUMPUR, 13 JUL : Pasaran getah Malaysia dijangka kekal lemah pada minggu depan dengan permintaan yang agak lengang.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Malaysia Denis Low Jau Foo berkata, harga dijangka berada dalam jajaran kecil dengan kecenderungan aliran rendah disebabkan terutamanya jumlah pembelian dan penggunaan berkurangan.

“Banyak ketidaktentuan di peringkat global dan tiada penyelesaian kukuh terhadap pertikaian perdagangan yang berterusan yang ketika ini melibatkan lebih banyak negara,” katanya kepada Bernama.

Low berkata pasaran getah mengekalkan prestasi lembap minggu lepas akibat kekurangan permintaan ekoran pegangan stok pengeluar bagi getah basah dan kering.

“Penjualan kereta yang rendah di Eropah dan China juga menyumbang kepada volum pembelian yang rendah, manakala perubahan yang meningkat ke atas sarung tangan getah sintetik juga turut melembapkan permintaan terhadap getah basah,“ katanya.

Jabatan Perangkaan dalam perangkaan bulanan getah yang dikeluarkan hari ini berkata, pengeluaran getah asli (NR) Malaysia pada Mei 2019 meningkat sebanyak 30.2 peratus kepada 44,164 tan berbanding 33,923 tan pada April 2019 — pengeluaran tertinggi sejak Februari 2019.

Perbezaan tahun ke tahun turut menunjukkan pengeluaran NR meningkat sebanyak 23.5 peratus.

Bagaimanapun, kadar stok NR pada akhir Mei turun 3.4 peratus kepada 176,520 tan daripada 182,645 tan pada bulan sebelumnya.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah tempatan mencatat aliran penurunan, menjejaki harga hadapan getah di Bursa Komoditi Tokyo dan Niaga Hadapan Shanghai.

Bagi asas mingguan, pasaran tempatan diniagakan lebih rendah dengan harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 jatuh 25 sen kepada 568 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 19 sen kepada 472 sen sekilogram.

Harga penutup pada 5 petang untuk gred tayar SMR 20 berkurangan 24 sen kepada 569.5 sen sekilogram manakala lateks pukal 17 sen lebih rendah kepada 472.5 sen sekilogram.

-BERNAMA


Pengarang :