SUKANKINI

PDMD: SMK Tinggi Kajang julang kejuaraan kali ketiga

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 12 JUL: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang menjulang Piala Dato’ Mokhtar Dahari (PDMD) buat kali ketiga apabila mencatatkan kemenangan bergaya 3-0 menewaskan SMK Seksyen 7 Shah Alam dalam perlawanan akhir di Stadium Arena, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini, malam ini.

Turun sebagai pasukan pilihan, SMK Tinggi Kajang menguasai permainan sejak minit pertama permainan menerusi gerakan berbahaya dari sebelah kiri dan kanan padang.

Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-34 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan SMK Seksyen 7 Shah Alam menampan bola menggunakan tangan.

Bagaimanapun, Nur Nabil Nasrun gagal meletakkan bola ke gawang lawan apabila penjaga gol, Rifqi Mifzal Tajuwid bertindak lebih cemerlang menampan sepakan ke sebelah kanan untuk keputusan tanpa jaringan pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, pesta jaringan SMK Tinggi Kajang bermula pada minit ke-50 menerusi jaringan Muhammad Lukman Hakim Mohd Azli bagi kedudukan 1-0.

 

Belum sempat SMK Seksyen 7 Shah Alam memperkemas permainan, Muhammad Danish Haikal Haili menjadikan kedudukan 2-0 apabila mudah menanduk kemas hantaran dari sebelah kanan.

Muhammad Danish Haikal menambah derita lawan dengan gol kedua peribadi pada minit ke-56 apabila melepaskan merembat kencang dalam kotak penalti bagi kedudukan semasa 3-0.

Kedudukan kekal sehingga tamat permainan dan SMK Tinggi Kajang menepati ramalan menjulang kejuaraan buat kali ketiga dalam pertandingan berkenaan.

 

Sebelum ini, SMK Tinggi Kajang menjulang trofi sama pada 2015 dan 2016.

Hadiah dan piala kejuaraan edisi ke-6 kejohanan diserahkan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sambil diiringi Pengerusi Kejohanan PDMD, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Petaling, Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Emran Kadir dan EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman dan Pengerusi Perangsang Selangor, Raja Shahreen Raja Othman.

Dalam perkembangan lain, SMK Bandar Tasik Puteri menduduki tempat ketiga selepas menewaskan SMK Tengku Idris Shah 1-0 bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :