NASIONAL

Pekerja pendawaian maut terkena renjatan elektrik

IPOH, 13 JUL : Seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik semasa sedang melakukan kerja-kerja menggantikan tiang lampu di Kilometer 16.5 Jalan Besar Ipoh-Kampar, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata mangsa Mohamad Kamil Mohamed, 28, pekerja pendawaian sebuah syarikat swasta di Chemor memulakan kerja-kerja mengantikan tiang lampu bersama lapan yang lain sejak Selasa lalu.

Katanya semasa kejadian, Mohamad Kamil yang berasal dari Padang Rengas bersama empat pekerja sedang memasang wayar tiang lampu sebelum tiba-tiba arus elektrik terkena mangsa.

“Kawan-kawan yang lain tidak sempat untuk menyelamatkan mangsa lalu menghubungi talian kecemasan 999 kira-kira pukul 5.20 petang untuk mendapatkan bantuan ambulans.

“Penolong pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Malim Nawar yang tiba di lokasi mengesahkan kematian mangsa dan pemeriksaan fizikal tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hasron Nazri berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kampar pukul 8 malam tadi mendapati punca kematian adalah akibat kejutan elektrik dan siasatan lanjut akan diteruskan.

-BERNAMA


Pengarang :