AGENSISELANGOR

Pelajar & guru luar negara bakal sertai FAM Trip

SHAH ALAM, 29 JULAI: Seramai 80 guru dari Arab Saudi dan 15 pelajar dari Thailand bakal menyertai program Familiarization Trip (FAM Trip) anjuran Tourism Selangor, pada 31 Julai ini.

Pengurus Promosi dan Pembangunan Industrinya, Khuzaimah Jamaluddin berkata, mereka akan dibawa ke pelbagai tempat pelancongan menarik di Shah Alam antaranya Pustaka Raja Tun Uda, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sunway Lagoon dan I-City.

Katanya, inisiatif menggunakan aspek pelancongan pendidikan itu salah satu usaha Tourism Selangor meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Pada tahun ini, kita menyasarkan jumlah kedatangan pelancong yang akan berkunjung ke Selangor adalah seramai 7.7 juta orang.

“Oleh itu, kita optimis pelajar dan guru ini dapat menguar-uarkan informasi berkenaan keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan Selangor kepada ahli keluarga serta rakan mereka apabila pulang ke tanah air nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Squad Kembara Sekolah bersama Tourism Selangor sempena Festival Antarabangsa #MySchoolGoals 2019, di Sekolah Menengah Kebangsaan TTDI Jaya, di sini hari ini.

Khuzaimah berkata, pihaknya turut memperkenalkan FAM Trip melalui media sosial supaya ia dapat membuka mata pelancong global untuk berkunjung ke negeri ini, pada masa akan datang.

“Kita berharap usaha Tourism Selangor mempromosikan produk pelancongan sehingga ke peringkat global dapat meningkatkan jumlah pelancong dari seluruh negara ke negeri ini,” katanya.


Pengarang :