NASIONAL

Pelaksanaan EMR di semua hospital dan klinik kerajaan diteliti

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JUL: Kementerian Kesihatan sedang merancang satu pendekatan melaksanakan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di semua hospital dan klinik kerajaan seluruh negara secara berperingkat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, buat masa ini sebanyak 35 daripada 145 buah hospital dan 118 daripada 1,703 klinik kerajaan telah menggunakan EMR.

“Setakat ini EMR telah dilaksanakan di 35 buah hospital atau 25% manakala 118 atau tujuh peratus klinik milik kerajaan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai perkembangan pelaksanaan EMR di hospital dan Klinik Kesihatan di seluruh negara yang dikemukakan Ahli Parlimen Selayang, William Leong pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, antara produk Sistem Maklumat Hospital (HIS) yang digunakan di hospital adalah Cerner, iSoft, Fisicien, Profdoc dan Sistem Pengurusan Pesakit (SPP).

Manakala Sistem Maklumat Klinikal (CIS) di klinik pula menggunakan produk seperti Teleprimary Care (TPC), Oral Health Care Information System (OHCIS) serta Integrated System TPC dan OHCIS (Sistem TPC-OHCIS).


Pengarang :