Selangorkini
NASIONAL

Pelan Pembangunan 2025 perkasa Tahfiz TVET

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 1 JUL: Kementerian Sumber Manusia sudah menyiapkan Rangka Pelan Pembangunan (blueprint) 2025 untuk menggerakkan projek Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) secara lebih meluas.

Timbalannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pelan tindakan di bawah Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan itu membabitkan enam kementerian bagi memperluas latihan kemahiran kepada pelajar Tahfiz sekali gus mampu memenuhi keperluan industri semasa.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk merancakkan TVET secara lebih baik melalui elemen Tahfiz yang dibawa.

“Kita akan masukkan pelan ini ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 supaya menjadi persediaan untuk kita lebih bersungguh-sungguh menyediakan dana terutama dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“Dengan adanya TVET Tahfiz ini, perhubungan dua latar belakang berbeza dapat dipertemukan dan tenaga pengajar tahfiz akan dapat manfaat dengan mempelajari ilmu kemahiran Industri Automasi dan Robotik, manakala guru TVET dapat memahami pendidikan Tahfiz,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian TVET Tahfiz dan Sambutan Aidilfitri Encounter Corridor Training Centre (ECTC), di Galleri Klang Sentral, di sini hari ini.

Turur hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Enter Coridor Sdn Bhd, Ahmad Radzi Yusof; Pengetua Maahad Tahfiz Al Quran Wa As Sunnah (MTAQWA’S), Ahmad Zaki Abdul Latif; Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Dr Mohd Rashid Buyong Hamzah.

Dalam majlis sama, ECTC dan MTAQWA’S turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mewujudkan hubungan dalam memastikan kualiti pelaksanaan modul hafazan di pusat terbabit sentiasa di tahap terbaik.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, pihaknya menyokong pendekatan ‘MenTVETkan tahfiz dan MenTahfizkan TVET’ sebagai salah satu agenda dibawa kerajaan untuk memperkasa pendidikan Tahfiz.

Katanya, pendekatan itu bakal membuka peluang lebih luas kepada pelajar tahfiz untuk menceburi bidang kemahiran yang diiktiraf JPK tanpa mengabaikan hafazan mereka.

“Saya mengharapkan jabatan zakat untuk tampil membantu anak tahfiz dalam program TVET ini yang sudah tentu akan memberikan satu pemikiran baharu di luar kotak kerana mereka tidak semestinya menjadi imam dan bilal apabila keluar bekerja.

“Kita akan terus menyokong usaha ini melalui JPK dan Jabatan Tenaga Manusia kepada Enter Coridor Training Centre serta pusat bertauliah yang lain dalam merealisasikan hasrat ini,” katanya.


Pengarang :