Selangorkini
NASIONAL

Pelancong Jerman ditemui maut di Taman Negara Mulu

MIRI, 13 JUL : Pelancong Jerman yang hilang ketika banjir kilat berlaku di Gua Rusa di Taman Negara Mulu sejak semalam, telah ditemui maut pada pukul 7 pagi ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, Peter Hoverkamp, 66, yang hilang bersama seorang pemandu pelancong tempatan Roviezal Robin, 20, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat di sungai Gua Rusa Mulu.

“Bomba sedang dalam perjalanan ke lokasi menggunakan helicopter M17 Unit Udara Bomba,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Law berkata usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan untuk mencari pemandu pelancong tempatan itu pada pagi ini dengan laporan terkini yang diterima menyatakan terdapat seramai 15 orang di dalam gua tersebut manakala lima orang lagi di pintu masuk gua.

Mangsa serta pemandu pelancong tempatan itu dilaporkan hilang pada pukul 5.50 petang semalam ketika banjir kilat berlaku di taman negara itu.

-BERNAMA


Pengarang :