GLOBAL

Pelancong ke New Zealand dikenakan bayaran levi bermula 1 Julai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 JULAI: Pelancong antarabangsa yang ingin berkunjung ke New Zealand perlu membuat bayaran levi sebanyak RM97.15 (NZD35), bermula 1 Julai lalu.

Kementerian Kementerian Perniagaan, Inovatif dan Pekerjaan negara itu di laman sesawang rasminya memaklumkan, bayaran levi dikenakan ekoran peningkatan jumlah pelancong ke negara berkenaan
sejak beberapa tahun lalu dan pertumbuhan itu dijangka berterusan.

Menurut kenyataan itu lagi, bayaran levi yang dibuat pelancong akan dilaburkan bagi projek pelancongan dan pemuliharaan mampan.

Kerajaan memperkenalkan Levi Pelancongan dan Pemuliharaan Pelancong Antarabangsa (IVL) bagi membolehkan pelancong menyumbang secara langsung kepada infrastruktur yang digunakan serta membantu melindungi persekitaran semula jadi yang terdapat di New Zealand.

IVL adalah sebuah pelaburan di New Zealand, dan ia dijangka meningkat lebih daripada RM1.25 bilion (NZD450 juta) dalam tempoh lima tahun pertama.

Bagaimanapun, terdapat pengecualian bayaran IVL kepada beberapa kumpulan termasuk warga New Zealand, pelancong transit, warganegara Australia, penduduk tetap, krew kapal dan syarikat penerbangan.

Turut terkecuali ialah penduduk dari Kepulauan Pasifik iaitu Kepulauan Cook, Fiji, Papua New Guinea, Samoa, dan Kepulauan Solomon.

Orang ramai boleh melayari www.immigration.govt.nz/new-zealand-visas untuk maklumat lanjut.


Pengarang :