Lim Guan Eng dijadual bentang Belajawan 2020 pada 11 Oktober 2019.
EKONOMI

Pembaharuan institusi, akuantabiliti baik untuk penarafan kredit

KUALA LUMPUR, 20 JUL : Pembaharuan institusi yang berterusan, akauntabiliti, ketelusan fiskal dan kestabilan politik yang lebih baik merupakan positif kredit yang membawa kepada penarafan kredit kerajaan yang kukuh, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Dalam kenyataan hari ini, Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan menyambut baik pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A- dengan unjuran stabil oleh Fitch Ratings.

“Fitch menjangka kualiti institusi Malaysia akan bertambah baik berdasarkan pelaksanaan tender terbuka dengan lebih meluas, ketelusan fiskal, langkah-langkah anti-rasuah dan langkah pembaharuan institusi yang menggalakkan akauntabiliti dan tanggungjawab fiskal,” katanya.

Beliau berkata pengesahan Fitch membuktikan peningkatan hutang langsung kerajaan tidak menjejaskannya apabila nisbah keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan telah berjaya dikurangkan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Nisbah keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan berbanding KDNK telah dikurangkan sebanyak 3.9 peratus kepada 75.4 peratus sehingga akhir 2018, daripada 79.3 peratus pada akhir 2017,” katanya.

Guan Eng berkata kerajaan yakin defisit fiskal akan dapat dikurangkan daripada 3.7 peratus pada 2018, kepada 3.4 peratus pada 2019.

“Fitch percaya tahap hutang kerajaan berbanding KDNK akan berkurangan secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang, berdasarkan pelan pengukuhan fiskal yang jelas yang digariskan oleh kerajaan,” katanya.

Pada Khamis lepas, Fitch Ratings mengekalkan penarafan kemungkiran penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia pada A- dengan unjuran stabil.

Katanya pemacu penarafan utama itu berdasarkan keseimbangan pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh dan meluas dengan kepelbagaian asas eksport, selain menyatakan kebimbangan mengenai hutang awam yang tinggi dan beberapa faktor struktur yang masih ketinggalan.

-BERNAMA


Pengarang :