NASIONAL

Pembayaran semula RM24.7 bilion bukti wujud tunggakan cukai

KUALA LUMPUR, 15 JUL: Pemulangan sebanyak RM24.7 bilion oleh kerajaan sebagai bayaran balik cukai kepada syarikat dan individu membuktikan wujudnya tunggakan yang perlu dibayar, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua.

Daripada angka tersebut, kerajaan telah membuat bayaran sebanyak RM12.6 bilion kepada lebih daripada 70,000 syarikat di bawah pemulangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) manakala bakinya, sejumlah RM8.1 bilion telah dibayar kepada lebih daripada 124,000 syarikat dan RM4 bilion lagi kepada 1.8 juta individu.

Pembayaran telah dibuat melalui dividen khas sebanyak RM30 bilion yang diterima kerajaan daripada Petronas pada tahun ini.

“Sudah tentu tidak wajar kita mengatakan bahawa kerajaan telah memulangkan wang yang bukan menjadi tunggakan mereka… kerajaan bukan kaya untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu sesi pada persidangan bon sehari yang dianjurkan secara bersama oleh RAM Holdings Bhd dengan Securities Industry Development Corporation di sini hari ini.

Dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai tunggakan bayaran balik GST yang berjumlah RM19.4 bilion yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, PAC telah melampirkan maklumat daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang menunjukkan bahawa pada 31 Mei 2018, sejumlah RM1.5 bilion dalam bentuk pulangan balik GST telah diluluskan tetapi masih belum dibayar.

Kastam juga menjelaskan pulangan balik sebanyak RM9.6 bilion masih lagi disaring, RM3.9 bilion terkait dengan isu-isu bekalan tidak dikenakan cukai, RM900 juta berkait dengan hal-hal pengecualian dan RM3.5 bilion masih di bawah status siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :