Selangorkini
NASIONAL

Pemecatan Haziq daripada PKR wajar, adil

KOTA BHARU, 5 JUL: Pemecatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah satu tindakan yang wajar dan adil, kata Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Shamsul Iskandar berkata asas pemecatan Haziq adalah jelas apabila telah disahkan membuat tuduhan tidak berasas terhadap pimpinan parti berhubung salah laku rasuah selain tuduhan berhubung sebuah video intim.

“Tuduhan itu tiada kaitan langsung dengan pimpinan parti dan apa yang dilemparkan adalah tuduhan yang tidak berasas. Ini sudah jadi satu asas kuat untuk parti mengambil tindakan.

“Prinsip kita, isu berkaitan parti harus dirungkai melalui kaedah dalaman. Jadi, tiada sebarang asas yang kuat lagi untuk beliau pertahankan. Saya juga percaya proses keadilan telah diberikan kepada beliau ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Citra dan Khidmat Bakti Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di sini, malam tadi.

Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama Datuk Tan Yew Chong, Pengerusi LKTN Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pengarah LKTN Samsudin Noor.

Dua hari lepas PKR membuat keputusan memecat Haziq Abdullah daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta atas kesalahan melanggar kod tataetika parti.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Biro Politik PKR yang diketuainya membuat keputusan itu selepas menerima syor dibentangkan Lembaga Disiplin parti dan surat pemecatan itu akan dikeluarkan segera.

Sementara itu Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama itu berkata setakat ini beliau masih belum mendapatkan pengganti bagi memenuhi jawatan Setiausaha Sulit Kanannya.

“Saya menerima banyak permohonan daripada pelbagai latar belakang namun pengalaman lepas mengajar saya untuk lebih teliti dalam memilih calon terbaik.

“Saya memerlukan masa bagi meneliti permohonan yang diterima bagi memastikan pegawai yang dilantik mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang tugas yang dipertanggungjawabkan,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :