SELANGOR

Pemilik kedai ‘bubble tea’ diberi masa ganti plastik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 13 JULAI: Kerajaan Negeri memberi tempoh kepada pemilik kedai minuman ‘bubble tea’ untuk menggantikan penggunaan plastik yang dilihat menjadi salah satu penyumbang sampah terbanyak.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, pengusaha minuman terbabit perlu memikirkan cara untuk membantu Kerajaan Negeri dan Pusat menangani lambakan sampah plastik.

“Mereka tidak boleh hanya memikirkan untuk mengaut keuntungan semata-mata, kerana kita tahu penghasilan sampah plastik dari minuman ‘bubble tea’ sangat mengejutkan.

“Oleh sebab itu, kita bagi tempoh kepada mereka untuk mencari bahan gantian seperti kertas atau sebagainya, namun setakat ini mereka masih boleh beroperasi seperti biasa,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika Program Kempen Bebas Plastik dan Pengguna Bijak ‘Program Lepak In Green’ di Kompleks Membeli Belah Main Place USJ 21, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali.

Minuman yang digelar ‘bubble tea’ kini menjadi kegilaan khasnya dalam kalangan remaja dan dewasa yang boleh didapati di seluruh negara.

Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook berkongsi sekeping gambar di akaun Zero Waste Malaysia dan ia tular dengan 2,100 perkongsian.

Gambar itu memaparkan tong sampah yang dipenuhi plastik minuman dan lebih mengejutkan apabila ia adalah daripada kedai minuman yang popular dengan ‘bubble tea’.


Pengarang :