SELANGOR

Pemilik premis dinasihat simpan penyedut minuman plastik

OLEH NADIAH ZAMUS

SHAH ALAM, 8 JUL: Kerajaan Negeri menasihatkan pemilik premis makanan di Selangor menyimpan kesemua penyedut minuman plastik milik mereka.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, ia bagi mengelakkan orang ramai khasnya pelanggan mendapatkan bahan berkaitan dengan lebih mudah.

Katanya, beliau mendapati larangan penggunaan penyedut minuman plastik di negeri ini masih lemah.

“Ia kerana masih ada premis makanan termasuk restoran menyediakannya secara bebas kepada pelanggan, termasuk meletakkannya di kaunter bayaran.

“Oleh itu saya ingin nasihatkan pemilik premis supaya menyimpan penyedut minuman plastik, sekiranya pelanggan minta barulah ia diberikan,” katanya bagi mengulas perkembangan terbaru kempen larangan penggunaan penyedut minuman plastik bermula 1 Julai lalu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cek Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Selangor 2019 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, penguatkuasaan larangan itu adalah cara untuk pihaknya mendidik orang ramai supaya dapat mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik sebelum penguatkuasaan sebenar dijangka dilaksanakan pada 2025 kelak.

“Kita mahu pengguna dibiasakan dengan penggunaan penyedut minuman dibuat daripada kertas, buluh dan besi,” katanya.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :