BERITA UTAMA

Pemohon program i-Suri cecah 109, 022 orang

KUALA LUMPUR, 31 JUL : Seramai 109,022 surirumah dan wanita telah mendaftar di bawah program Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) setakat 30 Jun lepas, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Beliau berkata jumlah pendaftaran tersebut melebihi sasaran ditetapkan kementerian iaitu sebanyak 100,000 orang.

“Melalui jumlah itu, Kelantan mencatat negeri paling tinggi mendaftar i-suri iaitu sebanyak 20,213 diikuti Sarawak, kedua tinggi iaitu 18,364 dan Terengganu dengan jumlah 17,731 suri rumah dan wanita mendaftar program itu.

“Bagi menggalakkan pendaftaran i-suri ini dalam kalangan wanita dan suri rumah yang memenuhi kriteria kelayakan, kementerian melalui agensi pelaksana seperti Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Amanah Ikhtiar Malaysia masih menggiatkan aktiviti promosi i-suri melalui inisiatif mobile team dan siaran media,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan Senator Nuridah Mohd Salleh yang ingin tahu jumlah peserta KWSP i-Suri di setiap negeri dan tindakan yang dilakukan untuk menambah peserta dari luar bandar yang kurang literasi teknologi terkini.

Dalam pada itu, Yeoh berkata kerajaan telah mewujudkan 66 buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) baharu di tempat kerja di pelbagai agensi kerajaan pada tahun ini .

Yeoh menjawab soalan Senator Asmak Husin yang ingin tahu langkah lain dibuat oleh kerajaan untuk memastikan kerjaya suri rumah diperkukuhkan dan pembangunan kerjaya dimantapkan. -BERNAMA


Pengarang :