BERITA UTAMA

Pemulihan bekalan air capai 94 peratus tengah hari ini

KUALA LUMPUR, 21 JUL: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan proses pemulihan bekalan air di tujuh wilayah terjejas di Selangor dan Kuala Lumpur susulan pencemaran bau mencapai tahap 94 peratus hingga pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata bagi Wilayah Kuala Selangor dan Hulu Selangor, bekalan air telah pulih sepenuhnya.

Bagi wilayah Kuala Lumpur pula, bekalan air sudah pulih 99 peratus manakala wilayah Petaling pulih 95 peratus. Bagi wilayah Klang/Shah Alam pula, sebanyak 91 peratus pulih, dan 94 peratus di wilayah Gombak serta 78 peratus di Kuala Langat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan bekalan air di wilayah Gombak pulih sepenuhnya esok (22 Julai), manakala bagi wilayah Kuala Lumpur dijangka pulih sepenuhnya pada Selasa (23 Julai) sementara tiga wilayah lagi akan pulih sepenuhnya pada 12 tengah hari 24 Julai ini.

Pihaknya juga sedang berusaha mempercepatkan pemulihan keseluruhan kawasan terjejas dengan meningkatkan tekanan dan menstabilkan aliran bekalan di sistem agihan, jelasnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan status terkini gangguan bekalan air itu boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my, Aplikasi Air Selangor atau menerusi laman Facebook Air Selangor dan Twitter @airselangor

Sementara itu, kerja-kerja pembersihan minyak hitam di kebuk masuk loji rawatan kumbahan Batang Kali, Hulu Selangor yang dikatakan menjadi punca pencemaran bau dan seterusnya menjejaskan bekalan air telah siap sepenuhnya dengan loji itu kembali beroperasi pada pukul 5 petang semalam.

Ketua Operasi Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) Wilayah Selatan Mohd Taufik Salleh berkata pelepasan efluen juga adalah mengikuti piawaian ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Pemeriksaan IWK pada awal pagi Sabtu mendapati terdapat minyak pekat berwarna hitam yang memasuki loji pada pukul 7 pagi dan serentak dengan itu pelepasan efluen dihentikan buat sementara waktu bagi menjalankan operasi pembersihan segera.

“Bagi mengelak sebarang gangguan kepada kualiti efluen, pengasingan telah segera dibuat untuk mengawal pelepasan terakhirnya ke Sungai Liam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kesan buangan minyak yang masuk secara terlarang ke loji berkenaan memerlukan rawatan tambahan membabitkan kerja penyedutan lapisan minyak yang tebal di kebuk masuk serta penggunaan bahan pengoksidaan untuk mengaktifkan proses biologi bagi mengurangkan kadar bau di efluen terawat.

Dalam pada itu, Mohd Taufik menjelaskan 250 kg karbon (yang diaktifkan) diletakkan di saluran pelepasan efluen terakhir bagi mengurangkan bau sebagaimana yang dicadangkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor.

“IWK turut menyediakan pasukan petugas untuk 24 jam bagi memantau sebarang kemasukan bahan yang dibuat secara terlarang daripada berulang,” katanya,

Semalam, Bernama melaporkan pembuangan bahan berasaskan minyak disyaki punca pencemaran bau yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang dihentikan operasinya. -BERNAMA


Pengarang :