NASIONAL

Penarafan S&P bukti keyakinan terhadap unjuran ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 JUL: Pengesahan penarafan kredit Malaysia oleh Standard and Poor’s (S&P) minggu lepas membukitkan keyakinannya terhadap unjuran positif ekonomi Malaysia, profil institusi yang tinggi, asas ekonomi yang kukuh serta pengurusan hutang dan liabiliti kerajaan yang rapi.

Pengekalan penarafan ini menunjukkan keyakinan syarikat penarafan kredit antarabangsa tersebut terhadap unjuran pertumbuhan Malaysia yang pesat, profil institusi negara yang baik, asas ekonomi yang kukuh, serta pengurusan hutang dan liabiliti kerajaan yang rapi.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) menyambut baik pengesahan semula S&P Global Ratings (Standard and Poor’s) 2019 ke atas penarafan kredit Kerajaan Malaysia pada A- dengan unjuran stabil.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penarafan semula itu menunjukkan bahawa kenaikan hutang langsung kerajaan tidak menjejaskan penarafan kredit kerajaan, terutama apabila jumlah keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan telah dikurangkan.

Walaupun berlaku perang perdagangan antara China dan Ameika Syarikat, eksport Malaysia meningkat bagi bulan kedua berturut-turut hasil daripada lencongan perdagangan.

Bagi Mei 2019, eksport negara meningkat 2.5 peratus kepada RM84.1 bilion daripada RM82.1 bilion setahun lalu, mengatasi konsensus pasaran pada 2.2 peratus seperti yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

Susulan ​​​​​​​pertumbuhan eksport yang berterusan ini, lebihan dagangan negara bagi tempoh lima bulan pertama 2019 meningkat 4.3 peratus kepada RM56.8 bilion daripada RM54.5 bilion setahun lalu.

Pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan bagi suku pertama 2019 meningkat 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion berbanding RM16.9 bilion setahun lepas.

Pertumbuhan ini dipacu oleh peningkatan 127 peratus FDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan, yang meningkat kepada RM20.2 bilion berbanding RM8.9 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“S&P mengiktiraf usaha kerajaan untuk mengukuhkan semula kedudukan kewangannya melalui pengurusan fiskal yang rapi, termasuk dalam menguruskan hutang dan liabiliti kerajaan secara menyeluruh.

“Walaupun nisbah hutang langsung Kerajaan meningkat berbanding keluaran dalam negeri kasar (KDNK) kepada 51.2 peratus pada 2018 daripada 50.1 peratus pada 2017, ia hanya merupakan sebahagian daripada keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan,” kata Lim.

Beliau berkata komponen lain termasuk komitmen jaminan kerajaan dan pajakan kewangan serta liabiliti lain seperti hutang 1MDB yang perlu dibiayai secara langsung oleh kerajaan.

Lim berkata pembentukan Jawatankuasa Pengurusan Hutang akan membantu mengawal hutang dan liabiliti kerajaan sentiasa mematuhi amalan antarabangsa yang terbaik.

Selain itu, pentadbiran pimpinan Pakatan Harapan juga telah melakukan langkah-langkah besar.

Pentadbiran pimpinan Pakatan Harapan telah mengambil langkah penting dalam memerangi rasuah, suatu pembaharuan institusi yang dilihat sebagai kredit positif, selain kestabilan ekonomi dan institusi kewangan yang kukuh. – BERNAMA


Pengarang :