BERITA UTAMA

Pencemaran sungai: Dua pontun dibawa keluar

SHAH ALAM, 28 JUL: Dua pontun pengorekan dan penyedutan pasir yang tidak beroperasi di kawasan Sungai Selangor berhampiran Kolam Hang Tuah sudah dikeluarkan, semalam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pontun beroperasi sejak 2013 itu dibawa keluar syarikat perlombongan dan pengurusan sumber mineral milik Kerajaan Negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) selepas mendapat kebenaran rasmi polis.

“Kita dimaklumkan KSSB bahawa polis sudah benarkan untuk tarik keluar dua pontun yang ada di sungai berkenaan, sebelum ini polis tidak benarkan sebab kes masih dalam siasatan.

“Kita bersetuju untuk mengetatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya pontun yang tidak beroperasi ditolak keluar,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Serahan Perdana Program Sumbangan Lembu Korban Peringkat Selangor Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 2019 di Dewan Raja Muda Musa di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan dan Pertanian Asas Tani, Ir Izham Hsahim; Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Tamby Omar Mohammed serta Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Soffan Affendi Aminuddin.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata, pencemaran di sungai berkenaan bukan berpunca daripada pontun kerana ia tidak mengeluarkan minyak.

“Ini kejadian pertama minyak keluar daripada pontun, jadi kita tidak boleh menyalahkan semua sistem yang ada pada pontun kerana minyak tumpah dan bukan pontun keluarkan minyak.

“Bagi pandangan mata kasar saya, ia juga jelas kelihatan dibuat atau tertarik dan ia bukan semulajadi.

“Pencemaran minyak tidak nampak isu kecuaian, tetapi apabila polis siasat dan mendapati akibat kecuaian kita akan ambil tindakan serta mereka yang bersalah akan diambil tindakan segera,” katanya.

Dalam sidang media Isnin lalu, Amirudin percaya perbuatan khianat menjadi punca pencemaran minyak diesel atau benzena di Sungai Selangor yang dikesan pada petang Ahad lalu.

Ia berikutan sejumlah 100 liter minyak daripada pontun di kawasan operasi korek pasir yang dihenti tugas dua bulan lalu terlepas ke dalam aliran Sungai Selangor.

Susulan itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan pencemaran diesel di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Pencemaran itu adalah yang kedua dalam tempoh tiga hari hingga membabitkan penutupan empat LRA utama dan menyebabkan gangguan air berskala besar kepada pengguna di sekitar Lembah Klang.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :